Adi Shabrani: Pendapat,perspektif,pandangan serta kehidupan seharian.

Terkini

Selamat tinggal Semester 1 2011/2012

image

Hari ini merupakan hari terakhir peperiksaan. Kertas yang terakhir yang di perjuangkan ialah Sistematik Haiwan (Animal Sistematik). Kehadiran kertas terakhir ini merupakan penamat bagi minggu peperiksaan akhir semester 1 (ataupun semester 3 jika di ukur dr segi tahun). Alhamdulillah sebelum ini kertas peperiksaan yang lainya tidak memberikan banyak masalah. Sudah tentu dari segi menjawabnya memerlukan sedikit kerahan tenaga dan otak,apatah lagi subjek yang di perjuangkan semester ini agak berat dr segi pembelajaran dan pemahaman. Perjuangan bermula kira – kira 2 minggu lepas,dengan di mulakan kertas Invertebrata Marin dan Air Tawar, diikuti Ekologi Lapangan, Populasi Ekologi Haiwan,Nutrisi Haiwan,Fisiologi Haiwan dan terakhir Sistematik Haiwan.

Kehadiran serta pemergian kertas peperiksaan terakhir menandakan pengakhiran serta penutup bagi setiap semester. Jika di tanya mengenai semester – semester yang lepas,boleh saya katakan,semester ini adalah antara yang menarik dalam sepanjwng tempoh tersebut. Pengalaman demi pengalaman ibarat cikgu buat saya,mendidik secara halus jiwa serta minda. Tambahan,semester ini merupakan pengalaman pertama saya bergelar “senior” buat adik – adik tahun pertama. Tidak di nafikan,tatkala bergelar seorang “senior” memberikan sedikit rasa tanggungjawab dalam diri sendiri. Melihatkan adik-adik tahun pertama,teringat saya ketika turut bergelar pelajar tahun pertama tahun lepas. Terubat rindu melihat betapa kuatnya semangat persahabatan yang di ikat oleh mereka,padahal mungkin baru berkenalan di kampus ini.

Pada semester ini juga,dari segi pembelajarannya memang agak mencabar. Di tambah lagi pelbagai masalah lain baik yang peribadi mahupun yang professional. Kesibukan menyertai pertandingan pidato dan debat turut juga menambah asam garam dalam kehidupan bergelar mahasiswa. Tidak di nafikan,tatkala melangkah ke tahun ke 2, sedikit sebanyak perhubungan persahabatan ada terjejas dek kerana kesibukan diri masing-masing menguruskan hal peribadi. Jika di ukur dari semasa tahun 1 yang lepas,kebanyakan masa di luangkan bersama rakan-rakan, bergelak ketawa serta riang ria bersama. Itulah salah satu hal yang nampak perubahannya berbanding semester lepas.

Semester 3 sudah berlalu. Meninggalkan seribu kenangan,baik yang pahit yang sukar di telan,mahupun yang manis yang menjadi hiasan. Mungkin segala yang telah tertulis sudah berlalu,moga-moga ianya tidak meninggalkan parut yang hodoh,sukar di ubati serta dalam kesannya. Moga -moga kenangan manis pula menjadi penambah perisa dalam kehidupan,sehingga ianya mampu mengukirkan senyuman tatkala terkenang.=)

SELAMAT TINGGAL SEMESTER 3. AKAN BAKAL MERINDUIMU.

P/S: Selamat datang Pidato Antarabangsa BM,Debat Keamanan dan Debat Diraja..

IPT: Bidang Sastera/Sains, Satu Dilemma atau Pilihan?

Perkembangan dunia pendidikan tinggi di Malaysia amat memberangsangkan, dengan pertumbuhan pesat pada sektor IPT swasta serta peningkatan taraf dan kualiti IPT awam. Namun, seringkali menjadi satu persoalan dan dilemma bagi pelajar sama ada ingin meneruskan pengajian di dalam bidang sains atau sastera. Untuk entri kali ini, saya ingin memberikan pandangan mengenai pilihan bidang di IPT.

Bidang Sains

Bidang sains merupakan satu pilihan yang popular malahan menjadi pilihan utama kebanyakan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi. Sebelum berbicara dengan lebih lanjut, suka untuk saya ingatkan bahawa bidang sains terbahagi kepada dua, yakni Sains Tulen dan Sains Gunaan. Sains tulen merupakan satu cabang yang menawarkan pengajian di dalam bidang sains secara teoritikal, di samping menjalankan kajian dalam bidang yang di ceburi. Kebiasaannya, bidang sains tulen memberikan peluang untuk mendalami dengan lebih terperinci sesuatu cabang pengajian sains, khas untuk memahami secara intelektual mengenai sesuatu perkara. Contoh bidang sains tulen ialah seperti Sains Biologi serta cabang-cabangnya (Ekologi, Zoologi, Biologi Marin, Biologi Persekitaran, dsb.), Sains Fizik dan cabang-cabangnya (Astronomi, Geologi, Fizik Tulen dsb.) serta Sains Kimia dan cabang-cabangnya. (Kimia Tulen, Kimia Sumber dsb.) Sains Gunaan pula merupakan satu cabang yang menawarkan pengajian dalam bidang sains secara amali, yang mana pengajian sains di jalankan secara pengaplikasian. Contoh bidang sains gunaan adalah seperti Sains Kesihatan, Sains Kejuruteraan, Sains Aktuari, Sains Pendidikan dsb. Juga, pilihan yang popular yang sering menjadi buruan para pelajar ialah bidang sains gunaan kerana pasaran pekerjaan yang luas.

Bidang Sastera

Juga sama seperti bidang sains, bidang sastera juga merangkumi Sastera Tulen dan Sastera Gunaan, yang mana sastera tulen menekankan pembelajaran teori-teori intelektual dan sastera gunaan menekankan pengaplikasian ilmu sastera. Contoh bidang Sastera tulen ialah pengajian bahasa, pengajian falsafah, kesenian, ekonomi, politik dsb. Di sebelah sastera gunaan pula menawarkan pengajian seperti Senimatografi, Komunikasi Massa, Pentadbiran Awam dsb. Juga, faktor keluasan pasaran pekerjaan membuatkan ramai pelajar memilih bidang sastera gunaan.

Bidang Sastera/Sains? Yang mana lebih baik? 

Perspektif masyarakat kita yang memandang rendah kepada bidang sastera membuatkan ramai yang memilih untuk menceburi bidang sains. Namun sebenarnya, dari pandangan saya, kedua-dua bidang ini mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan saya boleh mengatakan kedua-dua bidang ini saling berkait rapat serta memerlukan antara satu sama lain. Contoh, sebuah syarikat rekacipta automobil perlulah mempunyai seorang pereka cipta yang mempunyai segenap kelulusan dalam bidang reka cipta (design), dan juga memerlukan seorang jurutera untuk mencadangkan apakah material yang sesuai untuk menrealisasikan rekaan perekacipta terbabit. Jadi, saya berpendapat, kedua-dua bidang sains dan sastera mempunyai kelebihan masing-masing dalam pasaran pekerjaan, terpulang kepada pelajar untuk memilih bidang apa yang di gemari dan di minati. Rata-rata pelajar memilih untuk menceburi sesetengah bidang kerana ingin mengejar dunia pekerjaan, tanpa menilai apakah yang akan mereka capai sepanjang masa pengajian.

Keikhlasan dalam belajar

Memang tidak di nafikan, hampir kesemua penuntut di IPT menginginkan pekerjaan sebaik bergraduat. Namun, jarang sekali kita mempunyai seorang mahasiswa yang menuntut di IPT kerana cintakan ilmu. Maka, ini yang menghasilkan suasana kampus yang lembab, di samping penjanaan mahasiswa yang tidak berkualiti. Ini turut menyumbang kepada peningkatan membanggakan siswazah menganggur di negara kita.

Saya suka untuk memetik kata-kata seorang rakan saya di Facebook, di mana beliau mengatakan begini:

“Belajar biar ikhlas kerana cintakan ilmu, dapat pointer atau pekerjaan yang baik adalah satu bonus!”

Saya sememangnya bersetuju dengan pendapat itu, apatah lagi sebagai seorang Muslim, kita di wajibkan untuk menuntut ilmu. Pekerjaan merupakan suatu bonus kepada hasil keikhlasan serta kecintaan kita kepada ilmu.

Maka, apa pun bidang yang anda ceburi, pastikan anda memberikan sepenuh komitmen dan perhatian di dalam bidang yang anda pelajari, barulah boleh menghasilkan seorang siswazah dan pemikir yang unggul.

Dari Pandangan Saya : Pembekuan Kursus Perubatan di Malaysia?

Baiklah, rata-rata sudah tahu mengenai isu pembekuan kursus perubatan selama 5 tahun di Malaysia. Hal ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa dan pelajar-pelajar yang berniat ingin menceburi bidang perubatan, bahkan kursus perubatan akan di bekukan hingga April 2016. Dari pandangan saya, tindakan pembekuan kursus perubatan ini merupakan suatu yang releven, berdasarkan logik di bawah.

1.Mengurangkan kos pendidikan

Untuk melahirkan seorang doktor bertauliah, minimum yang perlu di bayar adalah sebanyak RM 200,000 di Malaysia. Akan tetapi, oleh kerana kerajaan menanggung hampir 80% daripada yuran pengajian, dan pelajar hanya cuma perlu membayar sejumlah kecil yuran (malah ada yang menggunakan wang daripada biasiswa kerajaan seperti JPA dan lain-lain), maka kos pengajian bagi warganegara Malaysia untuk mengikuti kursus perubatan di Malaysia adalah di kira rendah. Apabila selesai bergraduat, masalah timbul, bagaimana bekas-bekas pelajar perubatan ini boleh membayar kembali yuran yang telah di tanggung dengan banyak tersebut? Di tambah dengan masalah graduan yang tidak berkhidmat dengan kerajaan (swasta dsb.) , maka di situ kita nampak ada kerugian berlaku. Perlaburan yang  dibuat tidak mendapat hasil setimpal, lalu menghasilkan suatu defisit belanjawan. Hal ini di tambah lagi dengan pelajar-pelajar perubatan yang di taja kerajaan di luar negara, sudah tentulah semakin banyak bajet yang di keluarkan.

2. Menambahkan kadar efisien dalam pengajaran & pembelajaran

Dengan peningkatan jumlah pelajar perubatan dari tahun ke tahun, jumlah pensyarah yang berkelayakan untuk membimbing mereka ini tidak cukup, dan tidak mencapai nisbah efisien untuk suatu sesi pembelajaran & pengajaran. Hasilnya, ramai doktor yang bergraduat dari universiti tempatan tidak cekap dalam menjalankan tugas. Dan pensyarah yang mempunyai kelayakan yang cukup untuk mengendalikan sebuah kelas perubatan adalah tidak banyak di Malaysia. Maka, pembekuan kursus perubatan selama 5 tahun dapat memberi peluang untuk para pensyarah perubatan untuk lebih fokus kepada pelajar perubatan sedia ada.

3.Membuka peluang untuk kursus lain 

Suatu realiti serta perspektif masyarakat kini, kursus perubatan di pandang tinggi oleh masyarakat dan kebanyakan pelajar akan berlumba-lumba untuk mendapat tempat dalam kursus tersebut, sehinggakan kursus-kursus lain yang di tawarkan yang juga tidak kurang hebatnya di pandang rendah oleh mereka. Hasilnya, apabila mereka ini tidak mendapat tempat dalam kursus perubatan, lalu ‘dibuang’ ke kursus-kursus lain, mereka menjadi lemah semangat. Apabila motivasi diri kurang, inilah yang menghasilkan pelajar yang pasif dan lembap, lalu menghasilkan suasana kampus yang hambar. Malahan, rata-rata pelajar kita sekarang ini gagal untuk melihat kelebihan yang ada pada kursus-kursus lain selain daripada kursus perubatan. Lalu, kursus-kursus ini tidak menyerlah dan gagal untuk di majukan kerana kekurangan permohonan dari pelajar-pelajar. Jadi, apabila kursus perubatan di bekukan, maka kursus-kursus lain akan berpeluang untuk di minati dan memenangi semula hati masyarakat.

Namun begitu, masih ada alternatif lain bagi ibu bapa yang masih menginginkan anak-anak mereka memegang ijazah M.D mahpun M.B.B.S, iaitu dengan menghantar mereka mengikuti kursus perubatan di luar negara. Pada ketika ini, pilihan yang agak popular bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara ialah Mesir, Russia, India dan Indonesia kerana mengambil kira dari segi kos, kemudahan serta pengurusan yang di sediakan oleh ejen-ejen berkenaan.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.